Monday 19 March 2012

PAKAR FIZIK NEGARA

 

SELAIN menjadi rujukan dalam bidang fizik, ketokohan Prof Dr Lim Koon Ong turut membolehkan beliau diberi kepercayaan menganggotai jawatankuasa pemilihan ahli akademik peringkat tempatan dan antarabangsa.

Antara lain, beliau dijemput Nobel Committee for Physics dan The Royal Swedish Academy of Sciences sebagai ahli jawatankuasa pemilihan Anugerah Hadiah Nobel bidang Fizik.

Beliau turut diberi kepercayaan sebagai ahli senat universiti, Jawatankuasa Pemilihan Timbalan Naib Canselor dan Jawatankuasa Rayuan Kenaikan Pangkat ke Jawatan Profesor di Universiti Sains Malaysia (USM).

Lim kini memegang jawatan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat di universiti Apex itu.

Beliau yang juga Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), berasal dari Melaka dan mula berkhidmat sebagai pensyarah di USM pada 1976.

Lim berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Queen's, Kanada dan Doktor Falsafah dari Universiti Western Ontario, Kanada.

Beliau pernah menerajui Pusat Pengajian Sains Fizik sebagai Timbalan Dekan dan Pemangku Dekan di samping menjadi Pengerusi Fizik Rancangan Matrikulasi, Pengerusi Rancangan Fizik Kejuruteraan dan Penyelaras Rancangan Diploma Teknologi Makmal.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Penggawa Desasiswa Aman dan Pemangku Dekan Penyelidikan, Pelantar Sains Fundamental.

Antara sumbangan utama beliau ketika berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Fizik ialah memperkenalkan tiga rancangan baru iaitu Rancangan Fizik Gunaan, Rancangan Diploma Teknologi Makmal dan Rancangan Fizik Kejuruteraan.

Sebagai ahli akademik, beliau juga aktif dalam bidang penyelidikan terutama biofizik dan penghasilan bahan api daripada biojisim.

Kepakarannya dalam fizik, biofizik dan kajian tenaga dikongsi menerusi penerbitan lebih 100 kertas kerja penyelidikan dalam jurnal antarabangsa dan kebangsaan serta prosiding kebangsaan selain penghasilan empat buku dalam bahasa Melayu.

Sumbangan beliau diiktiraf menerusi penerimaan Biasiswa Rancangan Colombo, Zamalah Memorial Nellie Farthing, Canadian Heart Foundation, Ontario Heart Foundation selain Pingat Jasa Kebaktian dan Bintang Cemerlang Negeri daripada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kepakaran beliau turut membawa kepada pelantikannya sebagai Ketua Kluster Sains dan Matematik Majlis Profesor Negara bagi membantu menangani isu seperti jumlah penyelidikan serta penerbitan sains dan teknikal yang rendah di negara ini.

Antara usaha bakal dilaksana kluster itu bagi menangani isu berkenaan ialah menghasilkan pendekatan inovatif meningkatkan pemahaman pelajar dan masyarakat umum mengenai sains dan matematik serta menggalakkan ahli saintis menjana pengetahuan dan inovasi baru.

Bagi mengelakkan pertindihan dengan kluster lain, ia hanya akan menumpukan bidang sains asas dan matematik serta bekerjasama dengan Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, ASM, badan profesional serta badan bukan kerajaan.