SELAIN menjadi rujukan dalam bidang
fizik, ketokohan Prof Dr Lim Koon Ong turut membolehkan beliau diberi
kepercayaan menganggotai jawatankuasa pemilihan ahli akademik peringkat
tempatan dan antarabangsa.
Antara lain, beliau dijemput Nobel
Committee for Physics dan The Royal Swedish Academy of Sciences sebagai
ahli jawatankuasa pemilihan Anugerah Hadiah Nobel bidang Fizik.
Beliau
turut diberi kepercayaan sebagai ahli senat universiti, Jawatankuasa
Pemilihan Timbalan Naib Canselor dan Jawatankuasa Rayuan Kenaikan
Pangkat ke Jawatan Profesor di Universiti Sains Malaysia (USM).
Lim kini memegang jawatan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat di universiti Apex itu.
Beliau yang juga Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), berasal dari Melaka dan mula berkhidmat sebagai pensyarah di USM pada 1976.
Lim
berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Queen's, Kanada dan
Doktor Falsafah dari Universiti Western Ontario, Kanada.
Beliau
pernah menerajui Pusat Pengajian Sains Fizik sebagai Timbalan Dekan dan
Pemangku Dekan di samping menjadi Pengerusi Fizik Rancangan Matrikulasi,
Pengerusi Rancangan Fizik Kejuruteraan dan Penyelaras Rancangan Diploma
Teknologi Makmal.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Penggawa Desasiswa Aman dan Pemangku Dekan Penyelidikan, Pelantar Sains Fundamental.
Antara
sumbangan utama beliau ketika berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Fizik
ialah memperkenalkan tiga rancangan baru iaitu Rancangan Fizik Gunaan,
Rancangan Diploma Teknologi Makmal dan Rancangan Fizik Kejuruteraan.
Sebagai
ahli akademik, beliau juga aktif dalam bidang penyelidikan terutama
biofizik dan penghasilan bahan api daripada biojisim.
Kepakarannya
dalam fizik, biofizik dan kajian tenaga dikongsi menerusi penerbitan
lebih 100 kertas kerja penyelidikan dalam jurnal antarabangsa dan
kebangsaan serta prosiding kebangsaan selain penghasilan empat buku
dalam bahasa Melayu.
Sumbangan beliau diiktiraf menerusi
penerimaan Biasiswa Rancangan Colombo, Zamalah Memorial Nellie
Farthing, Canadian Heart Foundation, Ontario Heart Foundation selain
Pingat Jasa Kebaktian dan Bintang Cemerlang Negeri daripada kerajaan
negeri Pulau Pinang.
Kepakaran beliau turut membawa kepada
pelantikannya sebagai Ketua Kluster Sains dan Matematik Majlis Profesor
Negara bagi membantu menangani isu seperti jumlah penyelidikan serta
penerbitan sains dan teknikal yang rendah di negara ini.
Antara
usaha bakal dilaksana kluster itu bagi menangani isu berkenaan ialah
menghasilkan pendekatan inovatif meningkatkan pemahaman pelajar dan
masyarakat umum mengenai sains dan matematik serta menggalakkan ahli
saintis menjana pengetahuan dan inovasi baru.
Bagi mengelakkan
pertindihan dengan kluster lain, ia hanya akan menumpukan bidang sains
asas dan matematik serta bekerjasama dengan Kluster Pendidikan dan
Pembangunan Modal Insan, ASM, badan profesional serta badan bukan
kerajaan.